Search This Blog

Monday, March 28, 2011

Kerdil Tak Halang Belajar Kemahiran

Sumber Info : Berita Harian Online
Oleh Shamsul Kamal Amarudin
ZULKIFLI (tengah) menunjukkan sijil kursus automotif yang diterimanya pada majlis konvokesyen Kolej Komuniti Wilayah Perak di Ipoh, semalam.

ZULKIFLI (tengah) menunjukkan sijil kursus automotif yang diterimanya pada majlis konvokesyen Kolej Komuniti Wilayah Perak di Ipoh, semalam.
Pemuda mahu jadi mekanik, buka perniagaan

Mohamad Zulkifli Othman, 21, mempunyai ketinggian satu meter, manakala kedua-dua kakinya pendek, beliau bukan saja nampak begitu kerdil tetapi menghadapi kesukaran bergerak pantas dan ketika berjalan, seolah-olah sedang mengheret satu bebanan yang berat.

Namun, kekurangan itu langsung tidak melemahkan semangat anak sulung daripada tiga beradik itu menanam tekad bagi mencipta kejayaan terutama dalam bidang automotif, kemahiran yang digemarinya sejak bersekolah rendah lagi.

Bagi Mohamad Zulkifli, tiada apa yang lebih menggembirakan selain memperoleh sijil kemahiran automotif yang diidamnya selepas berjaya menamatkan pengajian selama dua tahun di Kolej Komuniti Grik.

“Sejak di sekolah lagi saya memang berminat dengan bidang ini dan pernah mengikut kawan membaiki motosikal setiap kali ada masa terluang.

“Jika ada rezeki, saya mahu menjadi mekanik berjaya dan membuka perniagaan sendiri kerana ia adalah cita-cita saya sejak kecil,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Wilayah Perak di sini, semalam.

Pada majlis itu, 824 menerima sijil masing-masing dalam bidang Automotif, Teknologi Maklumat, Teknologi Elektrik, Pelancongan dan Pengembaraan, Fesyen dan Pakaian, Teknologi Pembuatan Perabot, Fesyen dan Aparel, Multimedia Kreatif (Animasi), Pelukis Pelan Senibina, Pemprosesan dan Kawalan Mutu Makanan, Teknologi Elektrik (Pemasangan dan Perkhidmatan), Hotel Katering dan Industri Seramik dari lima Kolej Komuniti di Perak.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, ICT, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Perak, Datuk Mohamad Zahir Khalid, menyampaikan sijil berkenaan.

Mohamad Zulkifli yang juga anak penoreh getah berkata, beliau bernasib baik kerana menerima dorongan daripada keluarga serta sokongan rakan sekuliah sepanjang mengikuti kuliah di kolej berkenaan.

1 comment: