Search This Blog

Monday, February 28, 2011

Gudang kereta Perodua Terbakar


ANGGOTA bomba dan penyelamat memadamkan kebakaran di sebuah gudang kereta Perodua di Puchong, semalam.


KUALA LUMPUR 28 Feb. – Sebuah syarikat pengedar kereta keluaran Perodua rugi hampir RM2 juta setelah 40 buah kereta yang disimpan di gudangnya di Jalan Layang-Layang 3, Puchong dekat sini musnah dalam kebakaran hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.15 petang itu, 14 buah kereta yang disimpan dalam gudang, manakala 26 lagi diletak di kawasan luar gagal diselamatkan akibat api marak terlalu cepat.

Kesemua kenderaan yang musnah merupakan kereta baru keluaran Perodua seperti MyVi, Viva dan Alza.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Anuar Harun berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kebakaran itu pada pukul 1.25 petang.

Beliau berkata, 29 anggota bomba bersama empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Puchong, Subang Jaya, Seksyen 7 Petaling Jaya dan Bukit Jalil dikejarkan ke tempat kejadian untuk memadam kebakaran tersebut.

“Pihak bomba yang melakukan kerja memadam api mulai pukul 1.34 tengah hari berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak dalam tempoh setengah jam.

“Bagaimanapun tiada yang dapat diselamatkan kerana kebakaran itu memusnahkan keseluruhan bangunan gudang termasuk 40 buah kereta yang disimpan di situ,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, kepantasan pihak bomba mengawal api bagaimanapun berjaya menyelamatkan 22 buah kereta milik syarikat sama yang disimpan di gudang bersebelahan.

Selain itu, katanya, pihak bomba juga berjaya menghalang api daripada merebak ke sebuah pusat jualan perabot berhampiran gudang yang terbakar itu.

Tambahnya, tiada kehilangan jiwa dan kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu, malah semua pekerja gudang itu sempat menyelamatkan diri.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan, namun tidak dinafikan ia melibatkan nilai jutaan ringgit,” katanya.

No comments:

Post a Comment