Iklan

Search This Blog

Loading...

Monday, February 28, 2011

Gudang kereta Perodua Terbakar


ANGGOTA bomba dan penyelamat memadamkan kebakaran di sebuah gudang kereta Perodua di Puchong, semalam.


KUALA LUMPUR 28 Feb. – Sebuah syarikat pengedar kereta keluaran Perodua rugi hampir RM2 juta setelah 40 buah kereta yang disimpan di gudangnya di Jalan Layang-Layang 3, Puchong dekat sini musnah dalam kebakaran hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.15 petang itu, 14 buah kereta yang disimpan dalam gudang, manakala 26 lagi diletak di kawasan luar gagal diselamatkan akibat api marak terlalu cepat.

Kesemua kenderaan yang musnah merupakan kereta baru keluaran Perodua seperti MyVi, Viva dan Alza.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Anuar Harun berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kebakaran itu pada pukul 1.25 petang.

Beliau berkata, 29 anggota bomba bersama empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Puchong, Subang Jaya, Seksyen 7 Petaling Jaya dan Bukit Jalil dikejarkan ke tempat kejadian untuk memadam kebakaran tersebut.

“Pihak bomba yang melakukan kerja memadam api mulai pukul 1.34 tengah hari berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak dalam tempoh setengah jam.

“Bagaimanapun tiada yang dapat diselamatkan kerana kebakaran itu memusnahkan keseluruhan bangunan gudang termasuk 40 buah kereta yang disimpan di situ,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, kepantasan pihak bomba mengawal api bagaimanapun berjaya menyelamatkan 22 buah kereta milik syarikat sama yang disimpan di gudang bersebelahan.

Selain itu, katanya, pihak bomba juga berjaya menghalang api daripada merebak ke sebuah pusat jualan perabot berhampiran gudang yang terbakar itu.

Tambahnya, tiada kehilangan jiwa dan kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu, malah semua pekerja gudang itu sempat menyelamatkan diri.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan, namun tidak dinafikan ia melibatkan nilai jutaan ringgit,” katanya.

Latihan Untuk PKM Automotif ILJTM 2011

Latihan persediaan untuk Pertandingan Kemahiran Malaysia peringkat ILJTM yang akan berlangsung di ADTEC Melaka pada 7 - 10 Mac 2011. Peserta dalam bidang Automotif ini di wakili oleh saudara Albvhone bin Lajukim dan Saudara Jesmus Gaidi yang diselia oleh Pengajar Automotif selaku Jurulatih En. Jupili bin Waimin. Semoga mereka beroleh kejayaan untuk menaikkan nama ILP Kota Kinabalu.


Jurulatih Automotif ILP Kota Kinabalu En. Jupili bin Waimin


2 peserta tekun menjalani latihan PKM


Peserta PKM Automotif Sdr. Albvhone bin Lajukim


Peserta PKM Automotif Sdr. Jesmus Gaidi


Sdr. Mohammad Sharil (Awg. Sipitang) membantu dalam persediaan PKM

Projek Turbo Kelisa ILP Kota Kinabalu

Projek mengubahsuai Perodua Kelisa standard kepada Kelisa Turbo bersama-sama Pakar Automotif dengan beberapa pelajar ILP Kota Kinabalu. Kerja-kerja mengupgrade ini dilakukan di bengkel latihan Automotif ILP. Pelbagai cabaran telah dihadapi bersama selama 2 hari untuk menyempurnakan pemasangan turbo tersebut.

Berkat kesungguhan dan kerjasama berpasukan yang dijalankan membuahkan hasil kejayaan memasang turbo tersebut. Maka lahirlah Kelisa Turbo keluaran ILP Kota Kinabalu, setakat kereta seangkatan kelisa ini boleh cium asap saja. Kalau tidak percaya cuba tanya owner Kelisa ni.


Thursday, February 17, 2011

SKM Tahap 3 Automotif ILP Kota Kinabalu

Bacth Pertama SKM Tahap 3 (Sesi 1/2011)

Kursus Automotif Institut Latihan Perindusrian Kota Kinabalu telah mula membuat pengambilan kursus pada sesi Julai 2008. Untuk permulaan ini pelajar didedahkan dengan bidang Automotif di peringkat asas mengandungi kemahiran Servis Carburation, Diesel Fuel, Electrical, Perform Engine, Clutch, Braking, Suspension dan lain-lain.

Ketika itu, program Automotif dinamakan program khas yang dijalankan selama 6 bulan sahaja. Bermula pembelajaran sesi Julai 2009 kursus Automotif dilanjutkan dari 6 bulan ke setahun dengan menjalankan persijilan SKM tahap 1 dan 2.

Selain itu juga bahagian Automotif pernah menjalankan SKM tahap 1, 2 dan 3 secara SLDN yang dijalankan bersama 3 syarikat iaitu Sugge Wang Auto Service (Dealer Proton), AR Auto Service (Dealer Suzuki) dan Man & Ken Auto Garage.

Pada tahun ini bagi kemasukan Januari 2011 buat pertama kali kursus Automotif menjalankan kursus SKM tahap 3 secara sistem pentauliahan berterusan. Pelajar akan didedahkan dengan modul Kemahiran Penyeliaan dan teknikal lanjutan yang menggunakan peralatan berteknologi tinggi.

Wednesday, February 16, 2011

PERODUA Mahu Tambah Model Kompak Mampu Milik

2011/02/17

PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) akan memperkenalkan beberapa lagi barisan model baru di pasaran tempatan dan antarabangsa, pada harga lebih berdaya saing dan mampu dimiliki.

Model berkenaan yang disifatkan pengurusan kanannya sebagai ‘kereta kompak yang akan memenuhi cita rasa pengguna’ akan diperkenalkan secara berperingkat bermula tahun ini.

Ia adalah seiring dengan pelan hala tuju lima tahun pengeluar kereta nasional kedua itu.
Pengarah Urusannya, Datuk Aminar Rashid Salleh, berkata pengenalan model baru berkenaan adalah perancangan khas Daihatsu Motor Corporation Ltd (DMC), untuk PERODUA memasang dan memasarkannya di pasaran tempatan dan beberapa lagi pasaran antarabangsa terpilih lain.

“DMC mempunyai rancangannya tersendiri untuk pasaran PERODUA (tempatan dan antarabangsa), dan pada dasarnya kita setuju kerana ia seiring dengan pelan lima tahun kami yang mana ada beberapa barisan produk yang akan diperkenalkan di Malaysia dan beberapa lagi akan dikhususkan untuk pasaran eksport.

“Namun, ia masih memerlukan lebih banyak kajian kerana produk yang kami mahukan mestilah memenuhi cita rasa pengguna Malaysia dan mampu ditawarkan pada harga yang mampu dimiliki dan lebih berdaya saing,” katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar harian tempatan Jepun mengenai rancangan DMC mengeluarkan kereta kompak harga murah di Indonesia, sekitar AS$10,750 seunit (RM32,744) bagi pasaran republik itu dan Asia Tenggara menjelang 2013.

Dilaporkan, pakar kereta kompak Jepun itu akan mengeluarkan kereta bercirikan penjimatan minyak dengan 70 peratus daripadanya akan dijual di bawah jenama Toyota.

Toyota Motor Corporation adalah pemegang saham utama DMC dengan menguasai kepentingan sebanyak 51.2 peratus.

DMC pula adalah rakan kongsi teknikal PERODUA yang berpangkalan di Ikeda, Osaka, Jepun. Ia juga adalah satu daripada pemegang saham utama PERODUA dengan menguasai kepentingan 20 peratus.

Pemegang saham PERODUA lain adalah UMW Corporation Sdn Bhd yang menguasai 38 peratus, MBM Resources Sdn Bhd (20 peratus), PNB Equity Resources Corporation Sdn Bhd (10 peratus), Mitsui & Co Ltd (7.0 peratus) dan Daihatsu (Malaysia) Sdn Bhd (5.0 peratus).

Sementara itu, Aminar Rashid berkata, PERODUA akan membuka tempahan bagi Alza edisi khas yang dikenali sebagai ‘M2 Special Edition’ akhir bulan ini.

“PERODUA masih lagi dalam peringkat memuktamadkan harga model ini dan saya jangkakan ia mungkin ditawarkan sekitar RM71,999 hingga RM74,999 seunit,” katanya.

Model yang hanya dikeluarkan sebanyak 500 unit dan menampilkan kemasan dan perincian lebih mewah dan eksklusif itu, diperkenalkan sempena memperingati jasa dan sumbangan besar bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap penubuhan PERODUA.

Sumber : www.bharian.com.my

MALAYSIA PERTARUH ENJIN CIPTAAN TEMPATAN

Malaysia buat pertama kali akan memperkenalkan teknologi enjin kenderaan Compress Natural Gas Direct Injection (CNGDI) ciptaan rakyat tempatan pada Ekspo Automekanika Antarabangsa yang akan berlangsung selama tiga hari di sini, bermula 31 Mac depan.

CNGDI merupakan hasil ciptaan pasukan penyelidik dari sebuah universiti tempatan dengan bantuan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan beberapa universiti lain yang menggunakan suntikan langsung gas semula jadi yang dimampatkan.

Teknologi enjin tersebut direka untuk disesuaikan dengan kenderaan berkapasiti enjin 1.6 liter Campro, khusus untuk model Proton.

Pameran auto mekanikal terbesar di Asia Tenggara itu merupakan anjuran Messe Frankfurt (HK) Ltd. (Messe) dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan disokong oleh Institut Automotif Malaysia (MAI).

Ketua Pegawai Eksekutif MAI, M. Madani Sahari berkata, CNGDI akan mempromosikan rekaan terbaharu Malaysia kepada dunia.

Katanya, ekspo itu bertujuan membuka mata dunia bahawa Malaysia turut mempunyai keupayaan menghasilkan enjin sebaik negara-negara maju yang lain seperti Jepun, Jerman dan lain-lain lagi.

Menurut beliau lagi, pameran tersebut turut memberi manfaat kepada pemain industri automotif di Malaysia dan dunia termasuk mereka yang terlibat dalam vendor, alat ganti dan aksesori automotif.

Katanya, kira-kira 200 hingga 250 pemain industri automotif tempatan dijangka mengambil bahagian terutamanya seminar yang turut dijalankan di dalam ekspo tersebut.

''Kami menganggarkan lebih 5,000 pemain industri automotif dari seluruh dunia mengambil bahagian dalam Ekspo Automekanika pada Mac depan dengan penglibatan lebih daripada 150 buah negara,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman projek Ekspo Automekanika di sini hari ini.

Hadir sama Pengurus Besar Messe Frankfurt HK, Jason Cao, Setiausaha Agung Kesatuan Juruteknik Automotif Malaysia, Cho Chee Seng dan Timbalan Presiden Persatuan Pengusaha Industri Bengkel Malaysia (PPIBM), Zaharudin Mohmad Tahir.

Setakat hari ini, sebanyak 100 peserta pameran automotif sudah menyatakan pengesahan untuk menyertai Ekspo Automekanika Antarabangsa iaitu Australia, Bangladesh, China, Jerman, Hong Kong, India, Indonesia, Korea, Malaysia, Singapura, Taiwan, Thailand, Turki dan United Kingdom.

Tambah Madani, salah satu tumpuan lain dalam ekspo tersebut ialah pembangunan teknologi hijau dalam sektor automotif.

Katanya, negara-negara yang mengambil bahagian akan mempersembahkan hasil kajian dan model-model teknologi hijau yang sudah dibangunkan.

''Pemadanan perniagaan di antara pemain industri tempatan dan antarabangsa turut dijangka berlaku pada ekspo tersebut,'' kata Madani.

Sumber dari : www.utusan.com.my

Proton Emas

Iklan